
KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) memuji tindakan berani polis menembak mati 92 penjenayah sejak 2011 hingga Ogos lalu dalam usaha memerangi jenayah di negara ini.
Ketua Penerangannya, Riduan Mohd. Nor berkata, fakta tersebut menunjukkan keberkesanan pihak polis menjalankan tugas membanteras jenayah khususnya jenayah berat.
“Sejak akhir-akhir ini juga kerap berlaku jenayah berat termasuk tembak mati yang dilakukan terhadap mangsa. Justeru keberanian pihak polis menembak mati 92 penjenayah dalam tempoh dua tahun ini wajar dipuji.
“DPPM turut memuji tindakan pihak polis mendedahkan senarai 49 buah pertubuhan kongsi gelap yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia.
“Mungkin diantara penjenayah tersebut adalah ahli atau pemimpin pertubuhan kongsi gelap terbabit. Apa yang diharapkan kesemua suspek penjenayah berbahaya itu tidak terlepas kerana kesalahan dan jenayah yang mereka lakukan amat besar kepada negara,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Riduan seterusnya berkata, rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada kerajaan untuk membanteras jenayah sceara bersepadu dan besar-besaran.
Menurutnya, dalam soal keselamatan negara, rakyat dan negara perlu menjadi keutamaan sekalipun ratusan penjenayah yang berbahaya ditembak mati dalam tahun mendatang.
Media semalam melaporkan seramai 92 penjenayah telah ditembak mati sejak 2011 sehingga Ogos 2013.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik berkata, seramai 56 orang adalah warga Malaysia dan selebihnya Indonesia, Myanmar serta Nigeria.
0 komentar:
Posting Komentar